Bahagia tidak diukur pada harta.......
Daif cuma di mata.........
Kaya hanya di jiwa yang merasa..........
Bagaimana kita.....
Andai suatu masa....
Kita di tempat mereka....
Lima
beranak yang tinggal dalam sebuah pondok daif tidak berdinding dan
berpintu serta hanya berlantaikan buluh dalam kawasan hutan kebun getah
di Kampung Kuala Tualak di sini, bakal menerima bantuan rumah di tapak
berhampiran.
Perkara itu dinyatakan oleh Anggota Dewan Undangan
Negeri Kuala Nerang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan
Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Negeri, Datuk
Badrol Hisham Hashim selepas mengunjungi keluarga itu di pondok mereka.
Pasangan
muda itu, Mohd Ridzuan Yaakob, 26, dan isterinya, Nur Hidayah Roslizam,
23, yang sedang hamil enam bulan, serta tiga anak mereka berusia
setahun setengah hingga enam tahun tinggal di pondok itu hampir setahun
yang lalu.
Nur
Hidayah yang berasal dari Pulau Pinang berkata, dia mengambil keputusan
mengikut suaminya tinggal dalam pondok itu bagi memudahkan suaminya
mencari rezeki di kawasan hutan itu.
“Sebelum
ini kami tinggal bersama ibu mentua tetapi terpaksa pindah kerana
adik-beradik suami pun tinggal sekali dengan ibu mentua.
"Kemudian kami menyewa di luar tetapi tidak sampai sebulan sebelum ambil keputusan tinggal di sini (kebun getah)," katanya.
Menurutnya, Mohd Ridzuan sering keluar masuk kawasan kebun getah ini untuk mencari rezeki.
"Suami
saya buat pelbagai kerja kampung seperti menoreh getah dan mencari
petai dan dapatlah antara RM600 dan RM700 sebulan,” katanya.
Menurut
suri rumah itu, mereka menggunakan generator untuk menjana elektrik,
manakala bekalan air bagi kegunaan harian untuk membasuh serta memasak
diperoleh dari telaga berhampiran.
“Saya seronok tinggal di sini
dan bersyukur dengan keadaan ini. Bagi saya tidak ada masalah. Waktu
malam pun tiada nyamuk tetapi kami kena berjaga-jaga dengan babi dan
ular. Cuma saya harap tempat tinggal saya ini dapat diperbaiki lagi agar
berdinding supaya lebih selesa,” katanya.
Bagi Mohd Ridzuan pula, dia selesa tinggal di situ dan tidak merancang untuk berpindah keluar.
Menurutnya,
dia berharap sekiranya ada pihak berkaitan yang boleh membantu untuk
membina rumah yang lebih selesa di dalam kawasan kebun getah tersebut.
“Sekarang pondok ini dibina atas tanah datuk saya. Memang saya yang
pilih tinggal di sini sebab mudah bagi saya untuk bekerja,” katanya.
Pondok
bertiangkan kayu yang tidak kukuh serta beralaskan bumbung plastik
terbabit dibina di bawah cerun bukit dengan anggaran kedalaman kira-kira
20 meter.
Dalam pada itu, Badrol Hisham berkata, pihaknya ada
menawarkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk keselesaan keluarga Mohd
Ridzuan namun dia menolak kerana tetap mahu tinggal dalam kebun getah
terbabit.
Sehubungan itu, pihaknya merancang untuk membina sebuah
rumah yang lebih selesa kepada keluarga berkenaan sebagai alternatif
lain tetapi bukan dibina atas tapak sama pondok itu kerana dilihat tidak
selamat.
“Kami kena cari tapak lain yang lebih selamat terlebih
dahulu untuk bina rumah ini. Saya difahamkan ada tanah yang rata milik
datuk Mohd Ridzuan di kawasan ini.
"Proses untuk membina rumah ini
pula akan dibuat secepat mungkin dan saya akan turut berbincang dengan
pihak berkaitan bagi mempercepatkan pembinaan rumah ini bagi keselesaan
keluarga Mohd Ridzuan,” katanya.
Badrol Hisham turut menyampaikan sumbangan kotak Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) berupa barangan makanan kepada keluarga itu.